Malaysia 52 Tahun Merdeka
Dalam konteks kemerdekaan negara ini, ia dicapai melalui cara yang berhemah iaitu melalui rundingan tanpa perlu menumpahkan darah. Inilah perkara paling unik yang membezakan Malaysia dan negara-negara lain dalam perjuangan kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 terus terpahat dalam sejarah sebagai hari negara ini bebas dari cengkaman penjajah yang senantiasa menjadi petualang demi untuk kepentingan mereka.
Namun begitu ini tidak bermakna kita memperoleh kemerdekaan dengan mudah. Sejak negara ini dijajah pada 24 Ogos 1511 dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis, telah berlaku banyak peperangan dan pertempuran terhadap penjajah bagi menyatakan kebencian penduduk negara ini terhadap penjajah. Terdapat beberapa golongan yang cerdik pandai yang berjuang dengan menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Antara mereka ialah golongan berpendidikan agama yang mendapat pendidikan di Al Azhar, Mesir. Golongan kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris dan golongan ketiga ialah golongan sekular berpendidikan Melayu.
Selepas pendudukan Jepun, orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang di Indonesia yang sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di sini. Namun begitu Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British, dan malangnya penjajah melihat kemerdekaan bukanlah perkara utama bagi mereka malah mengumumkan cadangan penubuhan Malayan Union .
Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dilantik sebagai presiden pertama. Kongres itu turut mendesak Malayan Union dimansuhkan. Pihak British sangat terkejut dengan perubahan sikap masyarakat Melayu.
'
Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan ia telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bermulalah episod untuk mendapatkan kemerdekaan. Percubaan pertama untuk mendapatkan kemerdekaan berlaku pada 1954, di mana Tunku Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal.
Pada tahun 1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Laungan "merdeka" yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaung dan dikongsi bersama di seluruh negara. Sejak itu, tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang membanggakan selama 52 tahun untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan.
0 comments:
Post a Comment