Have an account?

24 September 2008





GABUNGAN PERKASA & SRM JAYAKAN PROGRAM BUBUR LAMBUK PERDANA


Para pelajar dan pengusaha gerai bazar Ramadhan di UMP tidak melepaskan peluang menikmati keenakan bubur lambuk apabila sembilan kawah bubur lambuk berjaya diagihkan di UMP pada 20 September 2008 bertempat di Perkarangan Kolej Kediaman 1, UMP.

Pengagihan juadah berbuka puasa yang julung-julung kali diadakan itu dianjurkan oleh gabungan pelajar UMP seramai 34 orang iaitu Sekretariat Rakan Muda melalui Skuad Rakan Muda Idol dan Persatuan Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (PERKASA). Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta Pusat Islam & Pembangunan Insan.

Menurut Pengarah Bersama Program, Sazwan Sahar dari SRM, program ini diadakan secara gotong royong bermula dari penyediaan bahan-bahan mentah sehingga proses memasak bubur lambuk dengan dibantu oleh oleh tukang masak yang didatangkan khas dari salah sebuah kafe di kolej kediaman pelajar UMP.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan tentang pentingnya semangat kesukarelaan dikalangan pelajar institut pengajian tinggi,” tambah beliau.

Program pada hari tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada kesempatan itu, Dato’ Daing Nasir telah sudi menyampaikan sendiri bubur lambuk kepada para pelajar UMP, pengusaha bazar Ramadhan dan pelajar-pelajar tahun 6 SK Panching Selatan.

Menurut Naib Canselor UMP, pujian dan galakan patut diberikan kepada semua pelajar yang terlibat dalam program ini dan saya amat menyokong penuh supaya program ini dapat diadakan sebagai salah satu acara tahunan.


“Bulan Ramadhan bukanlah satu alasan untuk tidak membuat sebarang aktiviti. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bergerak aktif.” “Aktiviti seperti ini memberi impak yang besar kepada pelajar kerana mereka dapat menimba ilmu dalam proses penyediaan resepi asli bubur lambuk negeri Pahang,” ujar beliau.

0 comments: