Have an account?

03 March 2009

'
KUANTAN 1 Mac - Karnival Pengajian Tinggi Zon Timur anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini yang berakhir hari ini, berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.
Pegawai Perhubungan Awam dan Media UMP, Nadzariah Mohamed berkata, penganjuran karnival itu berjaya mencapai matlamatnya antara lain bagi mempromosikan institusi pengajian tinggi tempatan di kalangan penduduk setempat.
Beliau berkata, sepanjang karnival dua hari itu, para pengunjung telah berpeluang untuk melihat sendiri pelbagai hasil penyelidikan dan maklumat mengenai pengajian tinggi negara khususnya UMP di 70 buah gerai pameran.
"Sepanjang karnival juga, orang ramai berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai sains dan teknologi terutama mengenai angkasa lepas menerusi program motivasi yang disampaikan oleh Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed," katanya di sini, hari ini.
Menurut Nadzariah, selain pameran, pelbagai acara telah diadakan sepanjang karnival itu termasuk kuiz 'Jom Masuk U', jualan buku, cabutan bertuah serta forum kaunseling yang diadakan di Hotel Vistana.
Jelasnya, UMP turut mengambil peluang untuk mengadakan program 'Jom Masuk UMP' bagi menarik minat kalangan pelajar melanjutkan pengajian mereka ke universiti itu kelak.
Karnival tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
Karnival itu bermatlamat menjadi pusat sehenti kepada kumpulan sasar seperti ibu bapa, guru dan pelajar mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi melanjutkan pengajian.
Sempena pelancaran karnival itu, UMP telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan dua syarikat iaitu Hicom Automotive Manufactures Sdn. Bhd. dan Pasdec Holdings Berhad dalam bidang pembangunan modal insan.

Akhbar:Utusan Malaysia

0 comments: