Have an account?

10 January 2009

Sektor binaan tidak terjejas

Oleh ROHANI IBRAHIM dan MOHD. RAFIE AZIMI
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Sektor pembinaan negara diramalkan berjalan seperti biasa dan tidak menerima sebarang kesan ekoran kelembapan ekonomi global pada tahun depan.
Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), Datuk Hamzah Hasan berkata, daripada trend dan rekod CIDB, statistik pembinaan tidak menunjukkan sebarang pengurangan.
''Justeru saya menjangkakan keadaan ini akan kekal pada tahun depan.
''Bagi saya industri binaan negara tidak akan menghadapi apa-apa masalah pada masa ini dan tahun depan. Aktiviti pembinaan akan berjalan secara normal,'' katanya.
Hamzah berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada kelembapan ekonomi global akan menjejaskan industri pembinaan negara atau sebaliknya.
Sebelum itu, beliau mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Zin Mohamed merasmikan Seminar Amalan Terbaik Dalam Industri Binaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengenai kontraktor bumiputera yang mendakwa tidak mendapat projek pada masa ini, Hamzah menjelaskan, perkara berkenaan adalah subjektif kerana projek pembinaan terbahagi kepada projek besar dan kecil.
''Suntikan RM7 bilion untuk projek pembangunan yang diumumkan kerajaan tidak lama dulu dan akan dilaksanakan pada tahun depan juga dijangka mengatasi masalah ini,'' jelasnya.
Seminar dua hari itu disertai oleh 150 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli akademik, kontraktor, pemaju dan konsultan pengurusan projek.
Ia bertujuan mencari penyelesaian bagi isu-isu berkaitan sistem penyampaian yang efisien dan efektif.

0 comments: