Have an account?

16 January 2009

UMP terima 43 pelajar China

KUANTAN 8 Jan. - Buat julung kali Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menerima 43 pelajar dari China yang akan melanjutkan pengajian mereka dalam jurusan Kejuruteraan Automotif dan Pengurusan Teknologi di universiti tersebut.
Naib Canselor UMP, Prof. Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pengambilan sulung pelajar dari China itu merupakan salah satu usaha universiti berkenaan untuk menarik lebih ramai pelajar asing menyambung pelajaran mereka di universiti berkenaan.
''China merupakan pasaran yang besar kerana negara tersebut mempunyai ramai pelajar yang layak mengikuti pengajian di UMP.
''Usaha ini juga selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pengajian tinggi serantau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Daing berkata, kesemua 37 pelajar lelaki dan enam pelajar perempuan dari China itu akan mendaftar pada 12 Januari ini dan mereka akan mengikuti program insentif Bahasa Inggeris selama enam bulan terlebih dahulu.
Menurutnya, pelajar terbabit juga akan mengikuti sebuah program komuniti bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mengenai cara hidup rakyat Malaysia dan melibatkan diri dalam program berbentuk komuniti.
Dalam pada itu, katanya, jumlah pengambilan pelajar antarabangsa dari China di UMP dijangka bertambah selaras dengan dasar yang digariskan oleh pihak kementerian yang mensasarkan setiap IPTA mempunyai lima peratus pelajar antarabangsa di peringkat ijazah pertama.
Selain itu, tambah beliau, beberapa lawatan kerja ke beberapa negara seperti Australia, India dan Afrika telah diadakan oleh UMP bertujuan melebarkan jaringan hubungan kerjasama antarabangsa universiti berkenaan dengan institusi pengajian tinggi di luar negara.
''Ini dapat memperkukuhkan landasan merentas sempadan untuk mewujudkan program baru serta memastikan UMP disenaraikan antara universiti terbaik dunia," katanya.

0 comments: