Have an account?

07 January 2009

UMP menang anugerah khas KIPI

KUANTAN 6 Jan. – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakar sejarah apabila seorang penyelidiknya memenangi Anugerah Khas Presiden ‘Korea Institute of Patent Information’ (KIPI) sempena Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2008 baru-baru ini.
Selain itu, UMP turut meraih dua pingat emas, empat perak dan satu gangsa dalam pameran yang julung kalinya disertai universiti berkenaan.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP menghantar tujuh penyertaan sempena pameran itu dan kesemua mereka berjaya membawa pulang pingat.
“Apa yang lebih membanggakan ialah buat kali pertama dalam sejarah penyertaan UMP di pertandingkan penyelidikan di luar negara, penyelidik UMP berjaya membawa pulang Anugerah Khas Presiden KIPI,” katanya pada majlis meraikan kejayaan tersebut di sini hari ini.
Kejayaan itu diperoleh menerusi Abdul Syukor Abd. Razak dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam melalui projek bertajuk Integrated of Rainwater and Groundwater Harvesting via WASRA in Rural Area.
Projek itu juga mendapat pingat emas pada pameran tersebut.
WASRA merupakan satu sistem bekalan air bersih yang menggabungkan dua kaedah iaitu sistem tadahan air hujan dan sistem bekalan air bawah tanah sebagai alternatif menggantikan sistem bekalan air konvensional.
Penyelidikan itu dikatakan amat berguna kepada penduduk luar bandar dan negara dunia ketiga.
Daing Nasir berkata, kejayaan tersebut merupakan pemangkin kepada para penyelidik UMP lain untuk mencipta produk yang dapat dikomersialkan pada masa hadapan.
Selain penyelidikan oleh Abdul Syukor, UMP turut membawa pulang pingat emas melalui penyelidikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Rosli Mohd. Yunus mengenai pembangunan sistem reaktor unik untuk menghasilkan biodiesel dari minyak masak terpakai.

0 comments: